Monday, January 17, 2011

Penyegar Iman..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh..

Saat ini, ingin sekali rasanya saya kongsikan catatan seorang murabbi.. Buat manfaat dan kebaikan bersama..




~~KOLEKSI PENYEGAR IMAN~~

Wahai putera puteriku,

Imbaulah masa-masa yang telah berlalu pasti akan kau temui satu zaman yang didokong oleh pahlawan Islam, pimpinan-pimpinan Islam dan orang-orang yang soleh.

Namun, setelah beberapa generasi berlalu, umat Islam diselubungi kelekaan. Akibatnya umat Islam itu ditakluki dan ditindas oleh perancangan-perancangan Yahudi dan kerajaan-kerajaan kafir.

Kekayaan mereka dirampas,
Iman menjadi lemah,
neraca kehidupannya bertukar
dan hukum al Quran dihindari.


Mereka juga mendidik keturunan orang-orang Islam dengan ideologi yang bertentangan dengan Islam dengan berbagai nama dan pakaian yang mempesonakan.

Begitulah pewaris-pewaris Fir’aun telah memperdayakan umat kita;

“Mereka saling merancang dan merangka konspirasi untuk membuat kerosakan dan mengubah masyarakat supaya menjadi sampah-sarap yang tenggelam di dalam lumpur noda dan kejahatan. Masyarakat akan sentiasa disibukkan dengan kepayahan mencari sesuap makanan. Akibatnya mereka menjadi penat dan letih sehingga mereka tiada kesedaran untuk mendengar nasihat dan petunjuk mahupun kembali kepada Deen Allah SWT.” [Fi Zilaalul Quran]

Demikianlah seni dan telitinya tipu daya yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin yang sesat lagi menyesatkan.

Seni yang merampas kecantikan lenggok bunga sarwa
Ia menukar helang rajawali menjadi burung denak
Mereka memperdayakan angkatan berkuda dengan nyanyian yang merdu

Lalu membenamkan bahtera ke dasar laut
Mereka tidurkan kita dengan irama dan lagu
Dan memadamkan obor kita dengan tiupan nafasnya


Sedarlah wahai putera puteriku

Zaman kegemilangan Islam telah berlalu, Umat Islam kini beransur-ansur diresapi kehinaan tanpa disedari.

“Secara fitrahnya, manusia sebenarnya bencikan kehinaan dan kezaliman. Tetapi dengan berbagai-bagai situasi yang mengelilingi mereka, ditambah dengan berbagai peristiwa yang datang menyelubungi mereka dari semasa ke semasa, tanpa disedari mereka menerima penghinaan dan tunduk kepada keadaan. Secara beransur-ansur mereka merasa tenang dan terbiasa di dalam kehinaan ibarat singa yang telah dijinakkan.

Namun, unsur kemuliaan masih berbaki di jiwa dan masih ada percikan bahang yang panas membara di dalam darah.

Apabila pendakwah menyeru kepada kemuliaan, memanggil kepada kemerdekaan, membangunkan jiwa yang lena dan menggerakkan semangat yang nyenyak, maka berdenyutlah kemuliaan di dalam jiwa dan menyalalah bara di dalam sekam.
Bangkitlah semula sifat kemanusiaan di dalam diri manusia, mereka tidak sekali-kali menerima penghinaan.

Mereka pun bangkit berjihad dan melihat segala apa yang dihadapinya di dalam jihad itu lebih ringan daripada diperhambakan, malah lebih baik daripada kehidupan kebinatangan.

Kehinaan yang menimpa manusia sekiranya disebabkan oleh orang lain atau faktor luaran akan cepat sembuh dan mudah dihapuskan. Sebaliknya, jika kehinaan itu timbul dari dalam diri dan terbit dari hati, itu adalah penyakit yang sangat merbahaya dan merupakan kematian yang tidak disedari.

Oleh itu, golongan toghut yang zalim sengaja menerapkan kehinaan kepada rakyat melalui pendidikan yang hina dan asuhan tanpa akhlak. Mereka membentuk para belia dengan pelbagai taktik dan strategi yang bertujuan untuk mematikan hemah yang mulia dan memadamkan semangat juang agar kekuasaan sentiasa berada di tangan mereka yang zalim itu.”
Abdul Wahab Azam, As Shawarid


Lihatlah wahai putera-puteriku

Untuk melengkapkan konspirasi ‘penghinaan’ itu, toghut yang zalim telah menindas pendakwah Islam supaya sistem pendidikan, media massa dan wartawan dikuasai oleh ilmuan, sasterawan dan cendiakawan buatan. Mereka sadurkan rancangan mereka melalui berbagai-bagai pertubuhan yang pada zahirnya berbeza-beza. Mereka hiaskannya dengan solekan yang memperdayakan generasi baru, pejuang-pejuang muda dan anak-anak singa supaya mereka berlembut dan tunduk kepada syahwat, mengikut hawa nafsu, karam dalam gejala seks dan kemewahan hidup.

Seterusnya mereka padamkan warisan umat Islam zaman gemilang yang bertamadun tinggi.

Mereka hapuskan kisah-kisah para ulama’ kerana bimbang ia akan menjadi lampu yang terang benderang untuk generasi baru muslim dan menunjukkan jalan kerja kepada mereka.

Zaman satu bangsa yang hina
Tidak pernah sunyi dari ilmuan, sasterawan dan ahli yang ‘arif bijaksana

Mereka dipecahbelahkan dengan berbagai ideologi
Tetapi semua ideologi itu tertumpu kepada satu rencana :

Mereka ajar anak singa menjadi kijang yang pengecut
Dan mereka hapuskan kisah-kisah singa pada bicara zaman silam

Cita-cita mereka, menggembirakan hamba dengan perhambaan
Seluruh pengajaran mereka hanyalah penipuan cendiakawan


Inilah generasi baru kita wahai putera puteriku

Mereka itu adalah anak-anak singa yang bertukar menjadi kijang yang pengecut.

Sebenarnya mereka itu adalah putera puteri Muslim yang merdeka

Mereka diperhambakan, lalu mereka bergembira...

No comments:

semoga bermanfaat..^_^